Sunday, July 18, 2010

Attention!Pertukaran arah kiblat

LUAR NEGARA

Fatwa tukar arah kiblat Indonesia kerana 'salah'

JAKARTA: Majlis Ulama Indonesia (MUI) telah mengeluarkan fatwa membetulkan arah kiblat di negara itu daripada arah barat kepada barat laut, berkuatkuasa Rabu lalu.

Ketua Suruhanjaya Fatwa MUI, Kiyai Haji Dr Muhammad Anwar Ibrahim, berkata majlis itu tidak memberi perincian mengenai ukuran darjah perubahannya kerana ia bergantung pada kedudukan setiap wilayah di Indonesia.

Dengan pengeluaran fatwa baru itu, MUI meralat fatwanya yang dikeluarkan 22 Mac lalu, yang antara lain menetapkan kiblat solat bagi Indonesia ialah arah barat kerana negara itu berada di sebelah timur Makkah.

Kiblat bagi yang bersolat di Masjidil Haram Makkah ialah menghadap Kaabah, atau ainul kaabah, sementara kiblat bagi orang bersolat yang tidak dapat melihat Kaabah ialah ke arah Kaabah, atau jihat al- Kaabah.

Beberapa laporan media tempatan menyatakan setelah perkiraan semula dilakukan oleh ahli falaq, mereka memutuskan arah yang diyakini selama ini salah kerana ia menghadap ke Afrika, ke arah Somalia, Kenya dan Tanzania.

'Indonesia itu letaknya tidak di timur Kaabah tapi agak ke selatan, jadi arah kiblat kita juga tidak barat tapi agak miring, iaitu arah barat laut,' kata Ketua MUI, K.H. Ma'ruf Amin, yang ditukil agensi berita Antara.

Namun, beliau meminta umat Islam di Indonesia tidak panik mengenai perubahan arah kiblat itu.

'Tidak mutlak arahnya kerana yang dituju bukan Kaabah secara fizikal tetapi jihat Kaabah, dan itu boleh berbeza-beza di setiap tempat,' kata seorang lagi pemimpin MUI, K.H. Amidhan.

Para pemimpin MUI berkata pembetulan kepada arah kiblat itu tidak harus dibuat dengan merombak kedudukan bangunan masjid, tetapi cukup dengan menyesuaikan garis saf solat kepada kiblat sebenar.

Sejumlah masjid belum membetulkan arah kiblat mereka dengan alasan belum mendapat pemberitahuan rasmi daripada MUI. -- Bernama.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...